ALOR SETAR: Kedudukan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang dipecat daripada Bersatu akan diperincikan sebelum dipersembahkan kepada Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sebarang tindakan berhubung perkara itu perlu melalui proses pentadbiran yang ditetapkan selain mendapat perkenan Sultan Kedah.
“Buat masa ini kedua-dua wakil rakyat terbabit menjalankan tugas seperti biasa sementara kerajaan negeri meneliti isu berkenaan sebelum menghadap Sultan Kedah bagi mempersembahkan perkembangan semasa.
“Segala tindakan perlu ikut proses pentadbiran. Kita perlu bincang secara terperinci, sembah maklum kepada Tuanku Sultan dan seterusnya menjalani proses mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kedudukan ADUN Suka Menanti Dzowahir Ab Ghani yang juga Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah serta ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis selaku Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang dipecat daripada Bersatu.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata buat masa ini kedua-dua wakil rakyat terbabit menjalankan tugas seperti biasa dan bertindak sebagai ADUN bebas yang menyokong kerajaan negeri.
Menurut beliau, surat daripada Bersatu yang memohon pertukaran Exco dan Timbalan Speaker telah diterima sebelum ini, namun tiada tindakan diambil kerana kedua-dua pemimpin terbabit ketika itu masih ahli parti berkenaan.
Beliau berkata perkara itu turut dibincangkan dalam pertemuannya dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semasa program Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kubang Rotan dan Bersatu Kedah, di sini pada 10 April lepas.
“Ketika itu kedua-dua wakil rakyat terbabit belum dikenakan tindakan oleh parti, jadi tiada sebab untuk menukar mereka dengan individu lain. Sekarang sudah ada surat rasmi pemecatan diterima, namun tindakan tetap tertakluk kepada prosedur pelantikan Exco dan Timbalan Speaker,” katanya.
Semalam, Bersatu menerusi notis yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin parti Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan bahawa Dzowahir dan Abdul Razak dipecat daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Kedua-duanya dipecat di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
-- BERNAMA