KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyerahkan memorandum kes kalimah Allah di majlis agama setiap negeri.

Ia sebagai tanda sokongan dan penghargaan NGO berkenaan dalam isu berkenaan sekali gus terhadap pindaan undang-undang syariah sedia ada yang berkaitan agar tiada lagi ruang kepada sebarang pencabaran pada masa akan datang.

Antara Majlis Agama Islam negeri yang menerima memorandum daripada Pembela adalah Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Perlis.

Selain itu turut menerima memorandum adalah Majlis Agama Islam Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Johor dan Melaka.

Sebelum ini dilaporkan, lebih 250 wakil daripada 50 pertubuhan bukan kerajaan hadir persidangan tergempar NGO-NGO Islam dan tokoh-tokoh masyarakat dalam isu kalimah Allah 2.0.

Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.