SHAH ALAM : Penganjur dan masyarakat diingat supaya tidak terlibat dalam demonstrasi membantah penarikan rayuan kes kalimah Allah di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, pihaknya mengesan tular di laman media sosial mesej menyeru badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh umah Islam untuk mengadakan demonstrasi terbabit.

Katanya, polis memandang serius perkara ini dan telah menasihatkan pihak penganjur untuk tidak meneruskan demonstrasi terutamanya di kawasan tempat ibadat.

"Ini merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

"Justeru itu, dinasihatkan kepada semua masyarakat, terutama yang berada di sekitar Shah Alam supaya tidak menyertai demonstrasi dan perhimpunan ini bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat," ujarnya pada Jumaat.

Isnin lalu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) membantah sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Perpaduan menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Setiausaha Agungnya, Mohd Aswanizam Alias berkata, tindakan keputusan unilateral kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa merujuk dan berunding dengan pemegang taruh utama melibatkan isu umat Islam ini juga boleh dianggap melampau dan boleh mencetuskan keadaan yang tidak baik dalam negara. - Sinar Harian