MALAYSIA
Kamarul Zaman akan rayu keputusan bayar RM400,000 kepada Hannah Yeoh

Pada Jumaat, Hakim, Datuk Aliza Sulaiman memerintahkan Kamarul Zaman membayar RM400,000 kerana memfitnah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berhubung dua hantaran di laman sosial Facebook, lapan tahun lalu.
KUALA LUMPUR: Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, yang memerintahkannya membayar RM400,000 kerana memfitnah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, lapan tahun lalu.
Ringkasan AI
- Kamarul Zaman Yusoff akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar RM400,000 kepada Hannah Yeoh atas dakwaan fitnah lapan tahun lalu.
- Beliau tidak bersetuju dengan keputusan tersebut dan akan mencabar dari segi fakta dan undang-undang, sambil menegaskan keyakinan terhadap sistem perundangan negara.
- Walaupun menghormati keputusan mahkamah, beliau meminta ruang untuk proses rayuan berjalan dan berterima kasih kepada peguam serta penyokongnya.
“Saya percaya pada sistem perundangan kita yang memberi ruang dan peluang untuk seseorang mendapatkan keadilan secara menyeluruh melalui proses rayuan.
“Saya akan menggunakan saluran undang-undang yang sah bagi mempertahankan hak dan kebebasan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Bagaimanapun, beliau menghormati keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah tinggi itu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada barisan peguamnya termasuk semua pihak yang telah memberi sokongan, sepanjang prosiding ini berlangsung.
Menurutnya, proses itu jauh daripada berakhir dan beliau memohon semua pihak memberi ruang kepada mahkamah untuk meneliti semula perkara berkenaan secara menyeluruh di peringkat rayuan.
Pada Jumaat, Hakim, Datuk Aliza Sulaiman memerintahkan Kamarul Zaman membayar RM400,000 kerana memfitnah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berhubung dua hantaran di laman sosial Facebook, lapan tahun lalu. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami