Genting Malaysia Bhd mengesahkan pembelian kapal mewah Equanimity bersama bunker, bahan api, pelincir dan barangan sedia ada di atas kapal itu dengan pertimbangan harga US$126 juta (RM514.6 juta).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata pada 26 Mac 2019, ia membuat tawaran ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membeli kapal mewah itu di bawah proses Jualan Kehakiman, melalui jualan terus persendirian, menurut perintah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengikut bidang kuasa Admiralti.

"Mahkamah Admiralti di Kuala Lumpur hari ini meluluskan tawaran Genting Malaysia mengikut Terma dan Syarat Sheriff. Pengambilalihan itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh Genting Malaysia dan penyelesaiannya dijangka menjelang akhir April 2019."

BACA: Kapal mewah 'Equanimity' dijual pada harga RM514 juta kepada Genting

BACA: RM3 juta sebulan, 'umpama adakan parti setiap hari atas kapal'

Pengambilalihan itu akan membezakannya daripada pesaing lain selain memberikannya kelebihan unik serta berdaya saing untuk pelanggan premium perniagaanya, katanya.


Genting Malaysia, yang terlibat dalam operasi perjudian, hotel dan resort, berkata pengambilalihan itu dijangka tidak mempunyai kesan ketara ke atas pendapatan, aset bersih dan perancangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2019.

Pada rehat tengah hari, Genting Malaysia naik lapan sen kepada RM3.25 dengan 2.69 juta saham didagangkan.

Genting Bhd pula menambah 17 sen kepada RM6.87 manakala harga saham Genting Plantations tidak berubah pada RM10.50.


-- BERNAMA