KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyambut baik komitmen kerajaan dalam mendengar dan memberi tumpuan suara anak muda dalam memulihkan negara.

Menurut Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, golongan belia boleh diambil kira dan diletakkan sebagai pemegang taruh penting negara selari dengan komitmen yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu.

"Kami sangat menyambut baik perkara tersebut kerana masa hadapan negara adalah terletak di tangan golongan belia dan kepimpinan anak muda hari ini.

"Kami dengan penuh rendah hati juga memohon agar suara dan pandangan anak muda belia seluruh negara diambil kira dan diletakkan dalam kedudukan sewajarnya sebagai salah satu golongan pemegang taruh penting negara.

"Kami yakin dan percaya rakan-rakan belia kami mampu membantu kerajaan sebaiknya demi negara," jelasnya dalam kenyataan media pada Ahad.

Jelasnya, harapan disandarkan kepada Perdana Menteri agar agenda memperkasakan dan memartabatkan mahasiswa Malaysia akan terus berjalan.

Dalam pada itu, mengulas lanjut tambah Muhammad Amir Asyraf, konsep 'Keluarga Malaysia' yang diperkenalkan Perdana Menteri itu juga diyakini dapat memulihkan Malaysia untuk kembali bangkit.

"Melalui Konsep 'Keluarga Malaysia' dan 'Bekerja Bersama Rakyat' seperti yang telah dinyatakan dalam ucapan oleh Perdana Menteri Malaysia Kesembilan. Saya percaya semua pihak perlu sama-sama menggembleng tenaga untuk fokus dalam memastikan negara kita pulih semula.

"Perancangan yang telah dinyatakan oleh YAB Datuk Seri adalah menyeluruh, meliputi bukan sahaja aspek pemulihan daripada COVID-19, tetapi juga aspek ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

"Saya percaya jika dua perkara ini dapat dilakukan, negara kita akan kembali pulih seperti sediakala," katanya lagi.

Terdahulu, Ismail dalam ucapan pertamanya sebagai Perdana Menteri pada petang Ahad memaklumkan bahawa suara anak muda akan didengari dan diberikan tumpuan dalam Agenda Pemulihan Negara.

Tegas Ismail, beliau memberi jaminan bahawa penglibatan anak muda semua amat dihargai dan diharapkan dapat bersama kerajaaan untuk menjayakan agenda pemulihan negara.