NATIONAL
Kampung tidak tersusun antara isu pelaksanaan projek mitigasi banjir di Selangor - Exco

Izham berkata, data terkini menunjukkan terdapat beberapa kampung yang memerlukan pelaksanaan mitigasi banjir secara drastik bagi mengelak musibah berterusan kepada penduduk di kawasan berkenaan. - Gambar fail/Bernama
SABAK BERNAM: Pembinaan kediaman dan pembangunan kampung tanpa kebenaran merancang merupakan antara isu kritikal dihadapi kerajaan dalam membendung masalah banjir di Selangor, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim.
Beliau berkata, data terkini menunjukkan terdapat beberapa kampung yang memerlukan pelaksanaan mitigasi banjir secara drastik bagi mengelak musibah berterusan kepada penduduk di kawasan berkenaan.
"Kerajaan negeri akan lebih agresif, kita akan terus bina parit besar atau pintu air sekiranya tiada pilihan lain kerana kita tidak boleh teragak-agak membuat keputusan dalam membantu rakyat menghadapi masalah ini.
"Kita tidak boleh tunggu lagi kerana rakyat menerima kesan yang besar, ditambah pula dengan faktor perubahan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini," katanya kepada pemberita, di sini, pada Sabtu.Dalam hal sama, Izham berkata, pihaknya akan turun padang melihat beberapa kawasan berisiko banjir di sekitar Klang pada Isnin ini bagi mendapatkan gambaran jelas pelaksanaan langkah mitigasi banjir sepertimana yang telah dijadualkan.
Beliau berkata, lawatan tapak itu akan membabitkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Kita tidak boleh tunggu, sementara projek utama disiapkan saya akan turun padang dan lihat satu per satu sebelum kita selaras dan laksanakan langkah awal," katanya.
Pada 24 April lepas, kerajaan negeri Selangor memutuskan pelaksanaan 11 langkah drastik mitigasi banjir membabitkan kawasan kritikal di Selangor termasuk Taman Sri Muda, Meru dan Taman Seri Alam yang sering dilanda banjir.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami