KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan maut dalam keadaan terlentang, dipercayai terjatuh dari tingkat 12, bangunan flat perumahan di Cheras, pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superitendan Ridzuan Khalid berkata, polis menerima maklumat daripada orang ramai berhubung kejadian itu pada pukul 1.52 petang.

"Sewaktu polis tiba, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri atas rumput berhampiran bangunan flat tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Ridzuan menambah, pemeriksaan pegawai perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Berdasarkan siasatan awal, katanya polis tidak menemui sebarang unsur jenayah namun siasatan lanjut diteruskan untuk mengetahui punca kejadian.

Beliau memberitahu, setakat ini, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut (SDR).

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadiaan ini boleh menghubungi Ketua Polis Balai Cheras Inspektor Toh Chee Haur di talian 03-92050301 atau mana-mana balai polis berhampiran.