BEAUFORT: Seorang kanak-kanak perempuan 18 bulan dikhuatiri jatuh sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumah dalam kejadian di Kampung Batu 66, Beaufort pada Sabtu.

Kanak-kanak malang itu yang dikenali sebagai Jude Angel hanya disedari hilang kira-kira jam 8.30 pagi Sabtu oleh neneknya apabila mendapati pintu rumah terbuka selain mangsa tiada di sekitar rumah.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Mohamad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.19 pagi.

Katanya, ketika kejadian ibu bapa mangsa sedang berjualan di Pasar Tamu Beaufort sementara mangsa pada waktu itu hanya ditemani oleh neneknya.

"Bapa mangsa memaklumkan ketika kejadian dia dan isteri sedang berniaga di Pasar Tamu Beaufort dan anak mereka dijaga oleh mentuanya," katanya dalam kenyataan.

Katanya, berdasarkan soal siasat, pakaian terakhir dipakai mangsa adalah baju berwarna putih dengan lambang kartun dan seluar biru.

Tambah Mohamad Hasbullah, operasi mencari dan menyelamat digerakkan pada jam 12.30 tengah hari di sekitar tepi sungai dan kawasan kebun.

"Operasi SAR dipecahkan kepada tiga kumpulan yang turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort dan penduduk kampung," katanya.