KULAI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai menggantung diri di rumahnya di Flat Temenggong, Kulai pada petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, berkata, pihak polis telah menerima satu panggilan daripada seorang lelaki mengenai kejadian tersebut pada kira-kira jam 3.30 petang.

Katanya, selepas menerima laporan berhubung kejadian, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Kulai bergegas ke rumah terbabit.

“Setibanya di lokasi, mangsa telah diturunkan oleh ahli keluarganya daripada tempat asal mangsa menggantung diri.

“Kira-kira jam 4.45 petang mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut Beng Yeow, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kesan kecederaan fizikal pada tubuh badan mangsa dan mangsa disahkan mati kerana ‘hanging’,” katanya.

Tambah beliau, motif kejadian disyaki berpunca daripada selisih faham antara keluarga dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.



*Di Malaysia, mereka yang berhadapan masalah kemurungan dan memerlukan seseorang untuk mendengar dan berkongsi masalah mereka boleh menghubungi talian bantuan Befrienders di Kuala Lumpur dan Selangor pada talian 03-79568145 atau e-melkan kepada [email protected]

Befrienders Malaysia