KULIM: Polis menafikan dakwaan kejadian culik pelajar sekolah di Taman Angsana di sini, dan menjelaskan kanak-kanak itu membuat laporan palsu disebabkan takut dimarahi keluarga kerana pulang lewat ke rumah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, berkata pelajar Tahun Empat sebuah sekolah di daerah ini, sebelum ini membuat laporan dia bersama abangnya berusia 13 tahun diculik pada 17 September.

“Pelajar itu mendakwa dia bersama abangnya ketika itu berada di sebuah kawasan perumahan sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang bertanyakan lokasi sebuah sekolah kepada mereka kira-kira jam 3.30 petang.

"Dia bersama abangnya kononnya kemudian membawa lelaki itu untuk menunjukkan lokasi sekolah itu.

“Semasa dalam perjalanan, dia mendakwa lelaki itu berhenti di satu kawasan semak untuk membuang air kecil dan ketika itu dia terdengar lelaki terbabit berbual melalui telefon bimbit berkaitan rancangannya untuk menculik,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Menurut Wan Hassan, pelajar itu mendakwa dia kemudian bertindak melarikan diri untuk meminta pertolongan daripada seorang lelaki tidak dikenali untuk menghantarnya pulang.

Katanya, perbuatan pelajar itu mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook (FB).

“Hantaran di FB itu mengatakan mangsa terpaksa bergelut dengan penculik di belakang sebuah sekolah sebelum berjaya melepaskan diri,” ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Hassan menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dan menyebar berita yang tidak sahih lebih-lebih lagi membabitkan isu sensitif.