NATIONAL
Kanak-kanak diselamat dari rumah kebajikan persendirian di bawah jagaan sementara JKM

Anfaal Saari berkata JKM negeri sedang mengesan waris kepada kanak-kanak terdiri daripada 12 lelaki dan enam perempuan itu. - Gambar/ Bernama
SHAH ALAM: Sebanyak 18 kanak-kanak yang diselamatkan dari sebuah pusat jagaan kanak-kanak persendirian di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini, kini ditempatkan di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ringkasan AI
- Sebanyak 18 kanak-kanak yang diselamatkan dari pusat jagaan di Cheras kini ditempatkan di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, yang sedang mengesan waris mereka.
- Pusat jagaan tersebut diarahkan tutup oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selepas tular video mengenai layanan terhadap kanak-kanak di premis itu.
- Kerajaan Selangor sedang merangka dasar OKU negeri dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani peningkatan kes jangkitan HIV dalam kalangan penuntut universiti dan sekolah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Selangor Care Accelerator (XCare) 2025 di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kenyataan memaklumkan pusat jagaan kanak-kanak persendirian terbabit diarahkan tutup susulan tular video yang memaparkan layanan terhadap kanak-kanak di premis itu.
Mengulas kes bunuh di Seksyen 18 membabitkan dua peminta sedekah Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipercayai merebut kawasan untuk melakukan aktiviti itu minggu lepas, Anfaal berkata kerajaan Selangor sedang merangka dasar OKU negeri.
Beliau berkata ia melibatkan hak dan keperluan yang perlu disantuni berkait dengan golongan berkenaan dengan menggunakan pendekatan no one left behind (tiada siapa yang tertinggal) dan keterangkuman.
"Sebagai contoh, keperluan OKU belia dan dewasa dalam hal seperti pengambilan kerja, jadi bagaimana kita mahu syarikat-syarikat ini menggaji mereka yang OKU, maka kita lihat kepada keterangkuman itu bagi mengelakkan isu-isu seperti mengemis dan sebagainya," katanya.
Berhubung kes jangkitan HIV yang dilaporkan meningkat dalam kalangan penuntut universiti dan sekolah, Anfaal berkata pihaknya akan bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa berkaitan bagi menangani perkara terbabit daripada terus memburuk.
Katanya, beliau akan meminta Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan untuk memberikan laporan berhubung kes seperti dadah dan isu-isu sosial yang lain supaya perkara itu dapat ditangani secara bersama.
"Kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) kerana kesedaran awal dan advokasi tentang bahaya penyakit ini penting untuk kita lakukan secara bersepadu, bukan hanya dari sudut kebajikan atau pembangunan keluarga semata-mata," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami