KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengesahkan kejadian kanak-kanak lelaki dari Pulau Tioman, Rompin dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, menggunakan helikopter, bukan disebabkan oleh strok haba.

Pengarah JKNP Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata kanak-kanak berusia lapan tahun itu dirujuk oleh Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman ke HTAA pada 11.45 malam tadi (3 Mei) dengan diagnosis Meningitis iaitu jangkitan kuman di otak.

Sehubungan itu, pihak terlibat mengerakkan penerbangan ihsan menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membawa kanak-kanak itu ke hospital dengan segera.

"Pesakit mendapatkan rawatan dengan simptom sawan setelah mengalami demam, muntah dan keletihan selama dua hari sebelumnya.

"Pesakit telah dirawat di Jabatan Kecemasan HTAA dan siasatan melalui CT Scan dan pengambilan darah mendapati diagnosis adalah Meningoencephalitis iaitu jangkitan pada otak," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dr Nor Azimi berkata pesakit telah diberikan rawatan dan berada dalam keadaan stabil serta dimasukkan ke Wad Kanak-Kanak HTAA untuk rawatan selanjutnya.

Terdahulu, sebuah portal media melaporkan seorang kanak-kanak diterbangkan dari Pulau Tioman ke Pangkalan Udara Kuantan sebelum dibawa ke HTAA kerana dipercayai mengalami strok haba.

Pada kenyataan itu, Dr Nor Azimi juga merujuk kepada maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa suhu harian di Pahang adalah kurang daripada 35 darjah Celsius dan masih terkawal.

Bagaimanapun, orang ramai adalah dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kesan kesihatan akibat cuaca panas, selain boleh memantau gelombang haba dihttps://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/.

-- BERNAMA