TAWAU: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dilaporkan jatuh di muara sungai di belakang rumah di Kampung Kurnia Jaya di sini petang semalam, ditemukan lemas pada 6.45 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Jemishin Ujin berkata mayat Adwa Iman Muhammad Iswan itu ditemukan orang awam kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis di lokasi dan kes diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut, operasi ditamatkan pada 7.40 pagi," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Semalam, dilaporkan seorang kanak-kanak lelaki tergelincir ke dalam muara sungai itu selepas bermain di belakang rumahnya kira-kira 5.30 petang.

Kanak-kanak itu yang memakai baju berwarna putih terjatuh ke dalam muara berkenaan kemudian dibawa arus sungai.

-- BERNAMA