MALAYSIA
Kanak-kanak dua tahun maut disyaki didera

Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia dengan kesan lebam, bengkak dan luka di seluruh badan disyaki menjadi mangsa penderaan di Paya Jaras, Sungai Buloh, semalam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia dengan kesan lebam, bengkak dan luka di seluruh badan disyaki menjadi mangsa penderaan di Paya Jaras, Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafis Muhammad Nor berkata pihaknya menerima laporan kematian mangsa daripada pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh pada 12.45 tengah malam tadi.
Beliau berkata kanak-kanak itu dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pasangan suami isteri berusia 27 dan 28 tahun yang juga keluarga angkat mangsa.
"Doktor yang bertugas memaklumkan menerima pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dibawa oleh pasangan berkenaan."Pemeriksaan mendapati terdapat lebam, bengkak dan luka di seluruh badan selain kesan tompokan darah yang sudah kering di bahagian mulut dan hidung kanak-kanak berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Mohd Hafis berkata susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh menahan pasangan tersebut bagi membantu siasatan.
"Hasil semakan lanjut mendapati kedua-dua individu berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan perintah permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Shah Alam bagi siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata mayat kanak-kanak itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Balai Polis Saujana Utama di talian 03-6038 3322 atau Pegawai Penyiasat Insp Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami