JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas terjatuh dari kerusi bayi (baby chair) ketika menjamu selera di sebuah restoran dekat Taman Sutera di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, kanak-kanak warga tempatan itu dikatakan sedang makan bersama keluarganya di restoran berkenaan sebelum terjatuh lalu kepalanya terhentak di lantai.

Katanya siasatan awal polis mendapati, ketika sedang makan, kanak-kanak itu bertindak luar kawalan dengan menolak meja menggunakan kakinya sehingga menyebabkan kerusi bayi yang didudukinya terjatuh.

"Siasatan polis mendapati, bapa dan ibu kanak-kanak itu membawanya ke restoran berkenaan kira-kira jam 2 petang dan meletakkan anak mereka itu di dalam kerusi bayi.

"Kira-kira jam 3 petang, ketika sedang makan, kanak-kanak berkenaan bertindak luar kawalan dengan menolak meja menggunakan kakinya hingga menyebabkan kerusi bayi yang didudukinya jatuh dan kepalanya terhentak di lantai.

"Kanak-kanak itu kemudian menangis dengan kuat sebelum pengsan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Jelas Fariz Ammar, kejadian itu turut disaksikan pekerja restoran terbabit.

Katanya sejurus kejadian bapa kanak-kanak itu bergegas membawanya ke klinik swasta, namun dinasihatkan doktor untuk dihantar terus ke hospital berikutan keadaannya itu yang dilihat serius.

"Bapa kanak-kanak itu kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas.

"Mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA), untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

"Sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kejadian itu, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan. Kertas siasatan dibuka atas laporan mati mengejut (SDR)," katanya.