PENDANG: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun melecur di bahagian muka dan badan dipercayai akibat terkena mercun dalam kejadian di Pendang di sini pada Selasa.

Mangsa Nur Zatil Hidayah Mohd Tarmizi, 4, melecur lebih 46 peratus dan berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata polis menerima laporan dari ibu mangsa mengatakan anaknya cedera terkena mercun.

“Siasatan awal polis mendapati, ketika kejadian, ibu bapa mangsa sedang menonton televisyen di dalam rumah dan mangsa ketika itu sedang bermain bunga api bersama abangnya di perkarangan rumah pada jam 10.30 malam.

“Tiba-tiba, terdengar teriakan mangsa di luar rumah ibu bapa mangsa terus bangun dan melihat apa yang berlaku.

“Ibu bapa mangsa terkejut apabila mendapati api sedang membakar tubuh anaknya. Pada masa yang sama abang mangsa yang bermain bunga api bersama mangsa sedang menepuk-tepuk api di badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, bapa mangsa terus berlari ke dalam tandas dan mengambil air menggunakan baldi lalu mencurahkan ke badan mangsa.

Kemudian mangsa terus di bawa ke Hospital Pendang (HP) untuk rawatan lanjut.

Jelasnya, bagaimanapun kedua-dua abang mangsa tidak dapat ditemu bual berikutan mereka masih dalam keadaan trauma akibat kejadian tersebut.

“Siasatan lanjut di tempat kejadian menjumpai cebisan baju dan sebatang kayu pelita api. Walau bagaimanapun tidak terkesan sisa pemegang bunga api yang dibeli oleh ayah mangsa di tempat kejadian.

“Mangsa kini berada di Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Sultanah Bahiyah. Doktor daripada bahagian ‘Plastic Surgery’ mengatakan terdapat kesan bakar lebih kurang 46 peratus pada badan mangsa,” katanya.

Arriz Sham memaklum, doktor tidak dapat menentukan punca kecederaan mangsa setakat ini sama ada disebabkan oleh minyak pelita atau bunga api.

Doktor memberitahu mangsa dalam keadaan stabil dan masih memerlukan pemantauan yang rapi oleh pihak hospital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.