MALAYSIA
Kanak-kanak enam tahun cedera diserang anjing

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang, mangsa yang sedang bermain basikal secara tiba-tiba diserang seekor anjing yang kebetulan berada di kawasan perumahannya.
KAJANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera selepas diserang dan digigit seekor anjing ketika sedang bermain basikal di kawasan berhampiran rumahnya di sebuah taman perumahan di Batu 9 Cheras, di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 11.41 malam, daripada abang mangsa yang berusia 20 tahun.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang, mangsa yang sedang bermain basikal secara tiba-tiba diserang seekor anjing yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun, tindakan pantas beberapa jiran berjaya menghalau haiwan terbabit,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Khamis.Naazron, berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan segera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.
Tambah beliau, mangsa kini ditempatkan di Wad Kanak-kanak hospital berkenaan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Sementara itu, katanya, pasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkejar ke lokasi sebaik menerima aduan penduduk dan berjaya menangkap anjing tersebut untuk tindakan lanjut.
“Status haiwan itu masih dalam siasatan sama ada ia haiwan peliharaan berdaftar atau sebaliknya,” jelasnya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953 yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengarahkan kuarantin terhadap haiwan yang menggigit bagi memastikan ia bebas daripada rabies atau penyakit berbahaya lain,” katanya.
Beliau dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222, pegawai penyiasat Inspektor Nursyaza Farhah Samhairi di 017-6919817 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Naazron turut mengingatkan orang ramai yang ingin memelihara anjing termasuk rumah persendirian agar mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan dan memastikan haiwan peliharaan dikawal dengan baik bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang.
Video tular berdurasi 11 saat itu memaparkan kanak-kanak malang berkenaan bergelut dengan haiwan itu selamat beberapa saat sebelum berjaya melarikan diri.
Turut tular gambar mangsa yang berlumuran darah dan jelas kelihatan beberapa kesan kulit terkoyak di bahagian kepala mangsa.
Video itu dikesan tular di Facebook pada Rabu dengan rata-rata warganet meminta tindakan segera diambil oleh pihak yang berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami