KUANTAN: Seramai lapan kanak-kanak dan dua guru dari sebuah tadika Gambang di sini, yang terperangkap akibat banjir berjaya dikeluarkan anggota bomba dari kawasan berkenaan, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.30 petang.

Menurutnya, kawasan terbabit dinaiki air berikutan hujan lebat menyebabkan semua mangsa terkandas di tadika itu.

"Semua mangsa telah dipindahkan ke kawasan Perumahan Gambang Damai sebagai langkah keselamatan," katanya.

Beberapa kawasan di Gambang dilanda banjir kilat hari ini selepas hujan lebat berterusan selama lebih dua jam.