Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan seorang kanak-kanak berumur lapan tahun yang dilapor hilang selepas keluar membeli sarapan di sebuah kedai berhampiran rumahnya di Kampung Gertak Seratus, Kuala Besut, Terengganu, semalam.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad berkata mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Saiful Aiman Mohammad dilihat kali terakhir pada pagi semalam.

Beliau berkata Muhammad Saiful Aiman berketinggian 135 sentimeter dengan berat 35 kilogram, berambut pendek, mata berwarna hitam, kulit hitam manis, berbulu kening halus, mata sepet dan memiliki bibir nipis.

"Kanak-kanak berkenaan kali terakhir dilihat memakai jersi bola sepak Malaysia dengan corak belang kuning hitam dan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut pada kira-kira 11 malam semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu diminta menghubungi Balai Polis Besut di talian 09-6956222, atau Insp Siti Fatimah Mohd Said di talian 013-4579857.

Media tempatan hari ini melaporkan kehilangan Muhammad Saiful Aiman, yang dikatakan tidak hadir ke sekolah dan berseorangan di rumah, setelah dia keluar untuk membeli sarapan kira-kira 9 pagi semalam manakala ibunya Siti Ruziana Sidek, 35, keluar bekerja di tempat memproses ikan di Kampung Pachakan tidak jauh dari kediaman mereka.

Siti Ruziana yang pulang ke rumah kira-kira pukul 4.30 petang semalam mendapati Aiman tiada di rumah dan pada awalnya tidak mengesyaki apa-apa perkara buruk berlaku.

-- BERNAMA