SIK: Seorang kanak-kanak lelaki warganegara Indonesia berusia lapan tahun cedera pada tapak tangan dan kaki didakwa akibat dirotan oleh tenaga pengajar di sebuah madrasah dekat sini.

Ketua Polis Daerah Sik DSP Abdull Razak Osman berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 9.24 malam, 11 Nov lepas selepas ibu angkat kanak-kanak itu menemukan kesan lebam pada anggota badan mangsa.

Beliau berkata pengadu berusia 40 tahun yang merupakan seorang pengusaha taska di Pulau Pinang itu mendakwa anak angkatnya dirotan hingga mengakibatkan kecederaan pada tapak tangan dan kaki.

"Kecederaan anak angkatnya disedari apabila pengadu pergi ke madrasah itu secara mengejut dan membawa anak angkatnya keluar makan.

"Setibanya di kedai makan, kanak-kanak itu mengadu rasa sakit semasa duduk. Melihat kesan lebam pada mangsa, pengadu kemudian membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan laporan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun, yang merupakan seorang tenaga pengajar di madrasah terbabit pada 10.38 pagi, 12 Nov lepas.

"Hasil siasatan awal, mangsa disyaki telah dirotan menggunakan satu batang paip jenis PVC hingga mengakibatkan mangsa mengalami kesan lebam dan bengkak. Pemeriksaan oleh pakar perubatan mengesahkan bahawa mangsa mengalami kecederaan tisu lembut," katanya.

Menurut Abdull Razak kes berkenaan telah dirujuk kepada pihak pendakwaan dan lelaki itu akan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA