BALIK PULAU: Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lepas, susulan dibawa keluar oleh bapa saudaranya tanpa pengetahuan keluarga telah dihantar ke pangkuan keluarganya dalam keadaan selamat semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kanak-kanak berusia lapan tahun itu diserahkan oleh bapa saudaranya itu kepada seorang lagi bapa saudara untuk dihantar kepada keluarganya di Teluk Kumbar, di sini.

"Polis menerima laporan daripada bapa tiri kanak-kanak itu memaklumkan kanak-kanak itu dibawa menaiki kereta oleh adik iparnya (suspek) pada 2.30 petang Jumaat lepas.

"Apabila mereka menghubungi adik iparnya, dia tidak menjawab panggilan telefon atau mesej menerusi aplikasi WhatsApp.

"Setakat Selasa, keluarga berkenaan masih gagal menghubungi lelaki terbabit bagi mengetahui keberadaannya dan kanak-kanak itu, lalu membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anak mereka," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang ibu di Teluk Kumbar di sini, merayu supaya anak lelakinya dibawa pulang ke rumah dalam keadaan selamat.

Wanita terbabit mendakwa pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa berikutan adik lelakinya yang berusia 29 tahun itu pernah membawa anaknya keluar bersiar-siar.

Mengulas lanjut, Kamarul Rizal berkata susulan laporan dibuat bapa tiri kanak-kanak itu, polis menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan lelaki dan kanak-kanak berkenaan termasuk ke rumah seorang ahli keluarga mereka di Batu Gajah, Perak pada Rabu.

"Kedua-duanya tiada di situ (Batu Gajah), namun lelaki itu dipercayai menyerahkan kanak-kanak berkenaan kepada abangnya untuk diserahkan kepada keluarga.

"Dia mendakwa tidak menculik anak saudaranya sebaliknya hanya membawanya berjalan-jalan," katanya.

Beliau berkata pihaknya kini giat mengesan lelaki itu dan kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 52 Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA