BAGAN DATUK: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut, manakala tiga lagi cedera setelah lori yang dinaiki merempuh belakang sebuah treler di kilometer (KM) 159.6 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), di sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kemalangan itu berlaku pada Jumaat jam 6.20 pagi di Lebuhraya WCE, arah Sabak Bernam ke Hutan Melintang.

Jelasnya, kemalangan itu membabitkan empat sekeluarga yang menaiki lori tersebut, iaitu sepasang suami isteri dan dua anak mereka.

"Siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Isuzu telah melanggar treler dari belakang.

"Penumpang lori iaitu seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

"Mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. Manakala pemandu lori iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun cedera ringan di kaki juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut dan telah discaj," katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Ahmad Adnan berkata, dua lagi mangsa dari lori berkenaan iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia sekitar 1 tahun serta isteri pemandu mengalami kecederaan di kaki kiri dan kepala.

Tambahnya, polis turut menahan kenderaan terbabit untuk dihantar ke pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

"Siasatan kemalangan jalan raya ini dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan berlaku," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Mohd Amirrudin Shafiei di 013-9126959.