Sambutan Hari Raya Aidiladha sekeluarga berakhir tragedi apabila seorang kanak-kanak terkorban selepas dilanggar kereta yang dipandu bapa saudaranya dalam satu kejadian di Kampung Long Danau Silabukan, pada Ahad.

Dalam insiden kira-kira jam 3.45 petang, kanak-kanak lelaki berumur dua tahun itu dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian pemandu berumur 37 tahun yang juga pakcik kanak-kanak itu beraya di rumah kanak-kanak terbabit.

Menurutnya, ketika lelaki itu dan keluarganya hendak pulang dengan memandu kereta jenis Toyota Land Cruiser, dia tiba-tiba seperti terasa seperti terlanggar sesuatu di tayar kiri hadapan semasa kereta itu bergerak ke depan.

"Sebaik diperiksa, kanak-kanak itu terbaring berdekatan tayar lalu dikejarkan ke Hospital Lahad Datu namun dilaporkan meninggal dunia.

"Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.