SEREMBAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan maut selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa sebelum itu ditidurkan dalam buaian oleh pengasuh di dalam sebuah bilik, sebelum keluar bagi melakukan tugas-tugas lain selama kira-kira sejam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian itu hanya disedari oleh pengasuh yang masuk semula ke dalam bilik dan mendapati leher serta kepala kanak-kanak malang itu terkeluar dan tergantung pada kain buaian.

“Mangsa dimasukkan ke dalam buaian di sebuah bilik bersama dua lagi kanak-kanak lain sebelum pengasuh mendapati bayi itu berada dalam keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.

“Pengasuh cuba melakukan bantuan kecemasan pernafasan (CPR) tetapi mangsa gagal bernafas dan dia terus bertindak membawa kanak-kanak itu ke Klinik Kesihatan Sendayan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut ujarnya, siasatan di tempat kejadian mendapati insiden berlaku di sebuah rumah teres satu tingkat yang dijadikan rumah penjagaan kanak-kanak serta tempat kejadian juga tidak dipasang kamera litar tertutup.

Katanya, ketika kejadian, dua pengasuh berada di dalam rumah bersama 15 kanak-kanak lain termasuk mangsa yang berusia lingkungan usia enam bulan hingga tujuh tahun.

“Siasatan mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, dengan keadaan leher dan kepala mangsa telah terkeluar dari buaian dan tergantung pada kain buaian manakala badannya masih berada di dalam buaian.

“Tempat kejadian yang dijadikan rumah penjagaan dan pengasuh kanak-kanak tersebut dimiliki dan dijalankan oleh kedua-dua pengasuh yang berusia 37 dan 29 tahun dan telah beroperasi sejak penghujung tahun 2019 sehingga sekarang,” katanya.

Ujarnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.