Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki bersama-sama ahli keluarganya merempuh belakang sebuah lori di Jalan Mini Tar, Kampung Parit Haji Taib 2, dekat sini berikutan asap tebal akibat pembakaran jerami, menurut polis.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, kanak-kanak itu dikenali sebagai Auni Marissa Norman, 6, maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Menurut Omar Bakhtiar, kejadian berlaku apabila motosikal yang dinaiki kanak-kanak itu bersama ibu, Siti Fauziah Abdul Kairi, 34; adiknya, Muhammad Faiz Akmal Norman, setahun dan bapa saudara Mohamad Hafiz Mohd Adli, 21, dalam perjalanan dari arah Jalan Minitar Parit Haji Taib 2 menghala ke Jalan Ipoh-Butterworth.

"Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah lori sedang berhenti di jalan tersebut berikutan pembakaran jerami secara terbuka menyebabkan asap tebal sehingga mengganggu pandangan mata pemandu.

"Motosikal dinaiki mangsa yang datang dari arah belakang telah melanggar bahagian tepi belakang lori sehingga menyebabkan Auni Marissa yang duduk di dalam raga hadapan maut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu dan adik mangsa serta bapa saudaranya mengalami cedera ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Teluk Medan di sini.

-- BERNAMA