Sukan SEA: Kuartet 4x100m lelaki negara pecah rekod kebangsaan, rangkul perak

Kuartet yang dibarisi pelari senior negara mencatatkan masa 39.03 saat (s) untuk meraih pingat perak. - StadiumAstro
BANGKOK: Biarpun gagal merangkul emas, kuartet 4x100 meter lelaki negara tetap menampilkan larian bertenaga apabila memecah rekod kebangsaan dalam saingan olahraga Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Suphachalasai, di sini, hari ini.
Kuartet yang dibarisi pelari senior Jonathan Nyepa dan tiga pelari muda, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, Alif Iman Mohd Fahimi, dan Pengiran Aidil Auf Hajam, mencatatkan masa 39.03 saat (s) untuk meraih pingat perak.
Catatan itu memadam rekod kebangsaan 39.09s yang dilakukan kuartet Muhammad Azeem Fahmi, Muhammad Arsyad Saat, Muhammad Haiqal Hanafi, dan Muhammad Zulfiqar Ismail pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam.
Pingat emas menjadi milik tuan rumah Thailand dengan catatan 38.28s, yang juga merupakan rekod baharu temasya sukan dwitahunan itu, memadam rekod lama mereka pada edisi 2021 iaitu 38.58s.
Kuartet Indonesia pula melengkapkan podium dengan meraih gangsa menerusi catatan 39.51s.
Menyedari kepantasan yang dimiliki barisan negara kali ini, Jonathan berkata mereka sememangnya menjangkakan bahawa rekod baharu kebangsaan mampu dipecahkan di bumi Thailand.
SEA-OLAHRAGA (MALAYSIA) 2 (AKHIR) BANGKOK
"Sebelum ini, saya pernah beritahu pasukan Malaysia kali ini memang agak kuat. Memang dari awal lagi saya nampak bayangan untuk memecahkan rekod kebangsaan," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu, Danish Iftikhar bersyukur kerana dapat menamatkan kempen sulung Sukan SEA dengan membawa pulang tiga pingat, termasuk gangsa 100m dan 200m, baru-baru ini.
Sementara itu, tuan rumah turut mendominasi acara 4x100m wanita dengan catatan 43.88s, menyamai rekod temasya milik Vietnam pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Kuartet Vietnam merangkul pingat perak (43.91s), manakala Filipina meraih gangsa (43.97s).
Dalam perkembangan lain, pelari 800m lelaki negara, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari, mengekalkan pingat gangsa Sukan SEA buat kali kedua berturut-turut selepas edisi 2023 dengan catatan 1:49.85s.
Lorana Hussein dari Filipina meraih emas dengan 1:48.80s, manakala wakil Thailand, Joshua Robert Atkinson, memenangi perak dengan catatan 1:49.24s.
Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini, melibatkan dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


