SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas lebih empat jam ditinggalkan di dalam kereta yang berkunci di sebuah tadika di Taman Ria, di sini.

Mangsa berusia 3 tahun 11 bulan itu dipercayai terperangkap di dalam kenderaan yang dipandu pengetua tadika berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, ketika kejadian, mangsa berada di dalam kereta dengan keadaan pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan.

Beliau berkata mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kereta itu dari jam 8 pagi hingga 12.15 tengah hari.

"Kejadian itu hanya disedari pada jam 12.15 tengah hari ketika pengetua mahu menghantar semula mangsa ke rumah, namun mendapati mangsa tiada di dalam kelas.

"Guru kelas memberitahu pengetua yang mangsa tidak hadir ke sekolah menyebabkan wanita itu terus menuju ke kereta miliknya yang diletakkan di tepi jalan dan mendapati mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri," kata Adzli.

Kata Adzli lagi, pengetua terbabit terus menghubungi ambulans dan turut melakukan bantuan pernafasan (CPR) terhadap mangsa, namun mangsa tidak sedarkan diri.

Beliau berkata mangsa kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans dan hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan tiada kesan kecederaan di luaran.

Menurut Adzli, mangsa sudah hampir setahun dihantar ke tadika berkenaan untuk dijaga pengasuh di situ.

"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP), pengetua tadika iaitu wanita berusia 49 tahun itu akan mengambil mangsa dari rumah ibu bapanya ke tadika pada hari Ahad hingga Khamis.

"Namun, selepas PKP, hanya hari Selasa dan Rabu pengetua wanita itu akan mengambil dan menghantar mangsa; manakala hari lain mangsa dihantar sendiri oleh ibunya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, siasatan awal mendapati pengetua tadika itu mengambil mangsa di rumahnya di Taman Ria pada jam 7.45 pagi semalam.

Beliau berkata ketika itu mangsa dalam keadaan sihat dan berada di tempat duduk belakang bahagian kiri.

"Sebelum itu, pengetua terbabit juga turut mengambil seorang pelajar lain yang berusia lima tahun dan diletakkan di tempat penumpang hadapan.

"Namun sebaik tiba di hadapan tadika, seorang guru kemudian mengambil pelajar yang berada di bahagian penumpang hadapan dan terus masuk ke dalam tadika, manakala pengetua itu pula terus parkir keretanya di tepi luar tadika dan mematikan enjin keretanya," katanya.

Anak kedua daripada dua beradik itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Beliau berkata, pihaknya menahan pengetua wanita itu untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.