KAJANG: Polis mengesahkan menerima laporan kejadian kanak-kanak berusia lapan tahun, dipercayai menjadi mangsa buli anak jiran di Hulu Langat, di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohamad Nasir Drahman berkata, pihaknya menerima laporan itu daripada pengasuh mangsa pada 11 April lalu.

Berdasarkan pemeriksaan awal katanya, mangsa mengalami kecederaan di kaki.

"Berdasarkan siasatan, kita mengenal pasti empat hingga lima suspek berusia antara enam dan lapan tahun," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Mohamad Nasir memberitahu, kesemua suspek akan diambil keterangan dalam masa terdekat.

Kes itu kataya, disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2002 bagi keslaahan penganiayaan atau pengabaian ke atas kanak-kanak.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Tasnim Muhamed Nor di talian  014-6209960 atau mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.

Sebelum ini tular hantaran di media sosial mendakwa mangsa dipukul sehingga cedera di kaki, perut dan anggota sulitnya.

Kanak-kanak itu kemudian dilaporkan dimasukkan he Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani rawatan.

Kes itu turut mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.