NATIONAL
Kanak-kanak perempuan disyaki didera ditempatkan di pusat jagaan JKM

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang akan menempatkan kanak-kanak perempuan yang disyaki menjadi mangsa dera ibu bapanya di pusat jagaan jabatan itu sebaik mangsa dibenarkan keluar dari hospital.
GEORGE TOWN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang akan menempatkan kanak-kanak perempuan yang disyaki menjadi mangsa dera ibu bapanya di pusat jagaan jabatan itu sebaik mangsa dibenarkan keluar dari hospital.
Pengarah JKM Pulau Pinang Zakaria Taib berkata pihaknya membuat keputusan itu selepas berjumpa dan berbincang bersama saudara terdekat mangsa, dan mereka tidak sanggup atau layak untuk menjaga kanak-kanak berusia 12 tahun itu.
"Hasil perbincangan mendapati kedua-dua belah pihak tidak berkemampuan untuk menjaga kanak-kanak itu. Jadi, pihak JKM akan menempatkan mangsa di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai iaitu di bawah pengurus pusat jagaan berdaftar yang dikawal selia JKM.
"Sehingga kini, kanak-kanak perempuan itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dan hospital turut memberikan rawatan kaunseling kepada mangsa kerana pihaknya bimbang dia mengalami trauma akibat insiden berkenaan.
Zakaria berkata pihak JKM juga sedang menguruskan perintah mahkamah bagi membolehkan penempatan rasmi dibuat sebaik sahaja kanak-kanak perempuan itu dibenarkan keluar hospital.
Beliau berkata penempatan di pusat jagaan seliaan JKM adalah langkah terbaik kerana keselamatan dan kebajikan kanak-kanak itu menjadi keutamaan.
"'Mahkamah akan membuat keputusan muktamad berhubung hak penjagaan. Namun, berdasarkan keadaan semasa dan latar belakang keluarga, kami percaya ini adalah penyelesaian yang paling sesuai buat masa ini," katanya.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan sepasang suami isteri berusia 47 dan 49 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan lebam dan luka pada belakang badan dipercayai dirotan dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Ara, dekat sini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami