Seorang kanak-kanak perempuan ditemui lemas selepas dipercayai tergelincir ketika sedang mandi di Sungai Air Hitam dekat Batu Kurau petang ini.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Batu Kurau Mohd Hisyam Osman berkata mangsa, Nurul Syahfiqah Muhamed Fairuz, 9, dijumpai oleh orang awam kira-kira 20 meter dari tempatnya tergelincir pada pukul 2 petang.

Beliau berkata sepasukan sembilan anggota dan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 2.27 petang.

"Mangsa bersama keluarga datang untuk mandi dan bermalam di sebuah chalet berhampiran dengan sungai itu. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian lain, seorang nelayan dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki bersama seorang rakan melanggar sebatang kayu di Sungai Sepetang dekat sini, tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping Rafeel Hairul Richard berkata sepasukan anggota dan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian apabila menerima panggilan pada pukul 1.20 tengah hari.

Katanya, semasa kejadian mangsa dan rakan dalam perjalanan untuk memasang bubu dari Kampung Dew ke Sungai Sepetang dan gerakan mencari mangsa sedang dijalankan.

-- BERNAMA