KUANTAN: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas hilang dari Rumah Rakit Attiya Sofia Sungai Bukit Rangin, di sini, awal pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.23 pagi yang memaklumkan tentang kejadian berkenaan.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

"Kanak-kanak tersebut dipercayai terjatuh ke dalam sungai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian dengan menggunakan bot tertumpu di sekitar kawasan rumah rakit dan sungai berdekatan. 

Foto ihsan JBPM Pahang

Bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) serta Unit Anjing Pengesan K9 turut digerakkan bagi membantu operasi pagi ini.

Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kanak-kanak itu dikenali sebagai Siti Nur Athhiyya Soffea Muhammad Sukri. 

Mangsa merupakan anak kepada pemilik rumah rakit tersebut, Muhammad Sukri Ali, 50 tahun, yang membuat laporan polis susulan kehilangannya dikesan.

Menurut Wan Mohd Zahari, ketika kejadian, Muhammad Sukri dan isteri sedang menganjurkan majlis sambutan hari raya yang dihadiri kenalan terdekat.

"Pengadu mempunyai dua buah rumah rakit yang terletak di atas Sungai Bukit Rangin dan dihubungkan dengan jambatan kecil yang diperbuat daripada kayu.

"Kali terakhir pengadu menyedari mangsa masih ada ialah pada jam lebih kurang 11 malam. Semasa itu, masih terdapat kenalan sedang berhari raya," katanya.

Menurutnya, mangsa kali terakhir dilihat memakai baju kurung bewarna merah.