MALAYSIA
Kandungan terlarang: 'Telegram ada 1 bilion akaun, pekerja hanya 50 orang' - Fahmi

Fahmi memaklumkan Telegram akan berjumpa MCMC dalam masa terdekat untuk membincangkan isu pematuhan undang-undang tempatan, termasuk perbezaan perundangan antara negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Telegram mempunyai satu bilion akaun di seluruh dunia, namun hanya mempunyai sekitar 50 pekerja sahaja, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Ringkasan AI
- Telegram mempunyai satu bilion akaun di seluruh dunia tetapi hanya sekitar 50 pekerja, menyebabkan cabaran besar dalam penapisan kandungan terlarang seperti pornografi, penipuan, perjudian dan pelanggaran hak cipta.
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan Telegram akan berjumpa MCMC dalam masa terdekat untuk membincangkan isu pematuhan undang-undang tempatan, termasuk perbezaan perundangan antara negara.
- Fahmi turut menyatakan bahawa platform media sosial lain seperti Facebook dan TikTok juga terlibat dalam aktiviti perjudian, dan penjenayah sering menyalahgunakan platform untuk pelbagai tujuan; MCMC hanya boleh menyalurkan aduan, manakala kuasa untuk menurunkan kandungan terletak pada platform itu sendiri.
"Telegram mempunyai lambakan kandungan membimbangkan seperti jual beli pornografi, penipuan dalam talian, pengantunan kanak-kanak, perjudian serta pelanggaran hak cipta melibatkan episod televisyen dan filem.
"Di seluruh dunia, Telegram mempunyai satu bilion akaun, namun jumlah pekerja mereka mungkin sekitar 50 orang. Jadi mereka akui, banyak perkara akan dilakukan secara automatik atau menggunakan kecerdasan buatan (AI).
"Cabaran lain adalah perbezaan perundangan untuk setiap negara. Contoh di Malaysia, judi dalam talian tidak dibenarkan, namun mungkin di Vietnam dan beberapa negara lain, ia dibolehkan.
"Jadi perlu ada perbincangan lanjut tentang pelaksanaan dan pematuhan platform Telegram kepada undang-undang dalam negara," ujarnya dalam sidang media selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) di sini, pada Sabtu.
Tambah Fahmi, platform media sosial lain dengan aktiviti perjudian tertinggi adalah Facebook, diikuti TikTok.
"Penjenayah akan menyalahgunakan setiap platform media sosial untuk tujuan berbeza. MCMC sentiasa komited mengambil tindakan menyeluruh dan tegas.
"Cuma kita harus faham, MCMC hanya boleh menyalurkan aduan tentang sesuatu kandungan, namun yang mempunyai kuasa untuk menurunkannya adalah platform itu sendiri.
"Jika platform tidak bersetuju untuk turunkan, malangnya tiada tindakan yang boleh diambil," jelas Fahmi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami