Skip to main content

Malaysia

Kapal hindari Sungai Rhine akibat paras air merosot teruk berhampiran Cologne

FILE PHOTO: Cars and trucks cross a bridge over the Rhine river on the Autobahn 48 highway near Bendorf, Germany, August 11, 2026, during prolonged dry weather across Europe that causes massive consequences for German industry. REUTERS/Stephane Nitschke/File Photo
Kenderaan dan trak melintasi jambatan yang merentasi Sungai Rhine di Lebuhraya Autobahn 48 berhampiran Bendorf, Jerman. - Foto REUTERS
Advertisement

COLOGNE: Trafik di Sungai Rhine berhampiran Bandar Cologne, Jerman, hampir terhenti sepenuhnya pada Khamis akibat paras air yang mencecah paras terendah dalam sejarah susulan kemarau semasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Aktiviti perkapalan akan terhenti dengan sendirinya," kata Markus Neumann, Pengurus Wilayah bagi Pihak Berkuasa Laluan Air dan Perkapalan Rhine, kepada dpa. Walaupun kapal masih dibenarkan berlayar, usaha itu tidak lagi berbaloi untuk diteruskan, katanya.

Neumann berkata, jarak masa yang ketara antara kapal yang lalu-lalang pada waktu pagi itu amat nyata berbanding keadaan biasa sungai yang lazimnya sibuk.

Seorang wartawan dpa mengesahkan ketiadaan hampir keseluruhan kapal pengangkut barang di laluan air pedalaman paling sibuk di Jerman dan Eropah itu, yang menghubungkan hab perindustrian dengan pelabuhan antarabangsa utama seperti Rotterdam.

Menurut Neumann, tanda aras luaran pada kapal menunjukkan bahawa hampir semua daripada kapal yang masih berlayar berhampiran Cologne itu adalah kosong (tidak membawa muatan).

Pada masa ini, paras air terendah baharu dalam sejarah ditetapkan setiap hari pada tolok pengukur di Cologne. Pada tengah hari Khamis, paras air setinggi 49 sentimeter direkodkan.

Menurut ramalan terkini agensi itu, paras air di Cologne mungkin mencecah 47 sentimeter pada hari Ahad.

Angka itu adalah 22 sentimeter lebih rendah berbanding rekod terendah sebelum ini iaitu 69 sentimeter yang dicatatkan pada 23 Oktober 2018, sebelum kemarau teruk musim panas ini.

"Ia bukan sekadar sedikit di bawah paras terendah – malah ia menjunam dengan ketara," kata Neumann.

Perlu diakui, saluran navigasi adalah jauh lebih dalam berbanding paras air di tebing sungai – sebagai contoh, ia 1.11 meter lebih dalam di Cologne.

Dengan paras air 47 sentimeter, ini bermakna kedalaman keseluruhan di saluran navigasi adalah 1.58 meter.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement