MOSCOW: Kapal persiaran Majestic Princess dengan kira-kira 800 penumpang yang dijangkiti COVID-19 berlabuh di Sydney Harbour, Sputnik memetik laporan penyiar ABC pada Sabtu.

Menurut laporan itu, pihak berkuasa kesihatan Australia sedang bekerjasama dengan pengendali kapal persiaran yang membawa 3,300 penumpang dan 1,000 anak kapal memandangkan mereka yang berada dalam kapal itu berada pada tahap amaran tertinggi jangkitan koronavirus.

Kebanyakan penumpang dilaporkan telah meninggalkan kapal berkenaan selepas disahkan negatif dalam ujian COVID-19, kata laporan itu. 

Marguerite Fitzgerald, presiden pengendali syarikat pelayaran Carnival Australia, berkata terdapat kira-kira 800 orang yang dijangkiti coronavirus di atas kapal itu.

"Ia adalah pelayaran selama 12 hari dan kami mula melihat peningkatan kes kira-kira separuh jalan... Mencerminkan peningkatan dalam penularan komuniti, kami juga melihat lebih ramai penumpang disahkan positif COVID-19 dalam pelayaran Majestic Princess. Ini adalah hasil ujian besar-besaran ke atas 3,300 tetamu kami," kata Fitzgerald, seperti yang dipetik oleh penyiar itu.

Beliau berkata majoriti daripada penumpang mengalami kesan ringan atau tanpa gejala dan telah mengasingkan diri di dalam bilik mereka semasa perjalanan.

Australia mengalami satu lagi lonjakan kes COVID-19, dengan peningkatan 47.3 peratus dalam kejadian koronavirus berbanding minggu lepas, menurut Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Orang Tua. Minggu lalu, Australia merekodkan 54,661 kes baharu, dengan purata 7,809 kes sehari.

-- BERNAMA