MALAYSIA
Karnival Al-Falah MADANI rekod lebih 10,000 pengunjung sejak Jumaat - Mohd Na'im

Karnival Al-Falah MADANI merupakan sebuah program holistik yang memberi penekanan terhadap aspek pendidikan serta pameran pelbagai agensi di peringkat Persekutuan dan negeri. - Facebook Mohd Na'im
KUANTAN: Karnival Al-Falah MADANI 2025 anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjaya merekodkan lebih 10,000 pengunjung sejak Jumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata pihaknya menjangkakan lebih ramai pengunjung hadir hari ini yang merupakan hari terakhir program tersebut.
"Esok, kita juga ada Majlis Penyampaian Sumbangan Musa'addah Al-Falah MADANI iaitu bakul makanan kepada 300 asnaf di Berserah.
"Saya menyeru kepada orang ramai untuk hadir ke karnival ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan karnival itu di Masjid Jamek Berserah di sini semalam.Beliau berkata Karnival Al-Falah MADANI yang julung kali diadakan merupakan sebuah program holistik yang memberi penekanan terhadap aspek pendidikan serta pameran pelbagai agensi di peringkat Persekutuan dan negeri.
"Kita harapkan Karnival Al Falah MADANI yang kita mulakan di Berserah ini, dapat digerakkan di negeri-negeri yang lain," katanya.
Dalam ucapan perasmiannya, Mohd Na'im berkata karnival itu bukan sahaja mengukuhkan ukhuwah malah menjadi medan menyatukan umat, menolak fahaman ekstrem selain menegakkan kefahaman Islam yang menyemai kasih sayang dan kesejahteraan.
"Pendekatan menyeluruh seperti karnival ini penting agar semua lapisan masyarakat berasa dilibatkan. Daripada kanak-kanak, remaja, ibu bapa hingga warga emas.
"Semua ada tempat, semua diberi ruang," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami