Gencatan senjata Gaza tidak lengkap tanpa ‘pengunduran sepenuhnya’ Israel - PM Qatar

Sheikh Mohammed berkata pihak perantara sedang berusaha untuk membawa rundingan ke fasa seterusnya, ketika negara Teluk itu terus memainkan peranan utama sebagai pengantara dalam perang tersebut. - Foto REUTERS
DOHA: Rundingan bagi mengukuhkan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS) dalam konflik Gaza kini berada pada tahap “kritikal”, kata Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani pada Sabtu.
Beliau berkata, pihak perantara sedang berusaha untuk membawa rundingan ke fasa seterusnya, ketika negara Teluk itu terus memainkan peranan utama sebagai pengantara dalam perang tersebut.
“Kami berada pada saat kritikal. Ia belum selesai. Apa yang berlaku sekarang hanyalah jeda,” katanya ketika sesi panel di Forum Doha, merujuk kepada pengurangan keganasan selepas gencatan senjata berkuat kuasa hampir sebulan lalu.
“Kita tidak boleh menganggap ini sebagai gencatan senjata sepenuhnya. Gencatan senjata hanya lengkap apabila berlaku pengunduran sepenuhnya pasukan Israel - sehingga wujud semula kestabilan di Gaza, rakyat bebas keluar masuk - yang mana belum berlaku hari ini,” tegasnya.
Rundingan bagi mencapai fasa seterusnya dalam pelan Presiden AS, Donald Trump untuk menamatkan perang dua tahun di wilayah Palestin itu masih berjalan.
Pelan tersebut mencadangkan pembentukan kerajaan teknokrat sementara di Gaza, dipantau oleh sebuah “lembaga keamanan” antarabangsa dan disokong pasukan keselamatan antarabangsa.
Namun, persetujuan mengenai komposisi dan mandat pasukan keselamatan itu menjadi cabaran utama.
Khamis lalu, delegasi Israel mengadakan rundingan di Kaherah bersama perantara bagi membincangkan pembebasan tebusan terakhir yang masih ditahan di Gaza, langkah penting dalam pelan awal Trump.
Sejak gencatan senjata rapuh itu bermula, Hamas telah menyerahkan 20 tebusan yang masih hidup dan 27 mayat sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan dan banduan Palestin.
Keganasan berkurangan sejak gencatan senjata pada 10 Oktober, namun Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza dan merobohkan apa yang didakwa sebagai infrastruktur Hamas.
Kedua-dua pihak saling menuding jari atas pelanggaran perjanjian yang disokong AS.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


