NEW DELHI: Karnival Malaysia 2024 di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini pada Sabtu mendapat sambutan meriah dan menarik perhatian lebih daripada 2,000 pengunjung.

Persembahan kebudayaan, makanan, demonstrasi masakan, mencanting batik dan peluang merasai buah-buahan tropika Malaysia membuatkan ratusan keluarga dan kanak-kanak terpesona sepanjang karnival separuh hari di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

"Karnival Malaysia 2024 merupakan sebahagian daripada budaya diplomasi kami di India. Ia juga merupakan satu usaha untuk mempamerkan destinasi tarikan pelancong di Malaysia sebagai persiapan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026," kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Datuk Muzafar Shah Mustafa.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menghantar beratus kilogram buah-buahan tropika seperti limau bali, buah naga, durian, nangka, belimbing besi, sun melon, jambu batu dan nanas untuk majlis itu.

Karnival Malaysia 2024 menyajikan makanan Malaysia yang lazat disediakan oleh Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan), yang mewakili isteri-isteri pegawai kedutaan di sini.

Pada aspek perniagaan, syarikat terkemuka Malaysia dan rakan sejawat daripada perusahaan di India membuatkan kehadiran mereka dirasai menerusi penajaan dan reruai yang dikendalikan mereka pada acara itu.

Kebanyakan keluarga yang berkunjung ke karnival ini meluangkan masa mereka sehingga lewat petang untuk menikmati suasana santai laksana sedang berkelah disulami dengan permainan kanak-kanak dan cabutan bertuah.

Sekumpulan penuntut daripada Universiti Sains Malaysia (USM) yang belajar di KLE universiti di negeri Karnataka, India memberikan persembahan kebudayaan yang menyeronokkan dan menawan hati pengunjung.

-- BERNAMA