KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga selesai siasatan kes "kartel perolehan" melibatkan kerja-kerja pembinaan di sebuah Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Johor bernilai lebih RM9 juta.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya berharap tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pihak terlibat, sekali gus dapat memberi pengajaran kepada semua.

"Sebagai menteri, saya amat mengalu-alukan dan akan memberi kerjasama kepada SPRM dan saya harap perkara ini menjadi pengajaran supaya projek-projek kerajaan yang telah diluluskan benar-benar sampai ke sasaran," katanya.

Beliau bekata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti MADANI Sedili Kota Tinggi di Sekolah Kebangsaan Sedili Besar di sini hari ini.

Semalam, tiga lelaki berumur lingkungan 28 hingga 47 tahun yang dipercayai dalang kepada kartel perolehan kerja-kerja pembinaan di sebuah kem TLDM, direman tujuh hari bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tiga lelaki berkenaan terlebih dahulu ditahan SPRM Johor di pejabat agensi itu kira-kira 6 petang Khamis lepas, selepas dipercayai membuat kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang kartel terbabit melibatkan 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja-kerja pembinaan di kem berkenaan.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata pembinaan empat poliklinik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kluang, Johor; Seberang Takir, Terengganu; Sungai Petani, Kedah; dan Kuantan, Pahang akan dilaksanakan tahun ini.

"Sekarang ini tengah buat spesifikasi dan akan dibuka untuk tender," katanya ketika ditanya perkembangan mengenai pembinaan poliklinik berkenaan.

Sebelum ini, Mohamed Khaled dilaporkan berkata akan menumpukan kepada kebajikan anggota dan bekas perajurit dengan menambah baik perkhidmatan kesihatan ATM tahun ini.

Selain pembinaan empat poliklinik ATM itu, perkhidmatan kesihatan ATM akan turut dimantapkan dengan Sistem IT Kesihatan di setiap Hospital Angkatan Tentera serta Specialist Outreach Clinic dan Program Mental Health.

-- BERNAMA