KOTA BHARU: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menempatkan pam bergerak di lokasi yang dikenal pasti bagi menyelesaikan masalah banjir termenung di beberapa kawasan di Kelantan termasuk Kampung Tersang, Rantau Panjang.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pam itu akan menyedut air yang bertakung di kawasan terlibat.

"Ada sesetengah kawasan rendah dan mengambil masa yang lama untuk kering... jadi kita terpaksa membekalkan pam malah perkara ini telah berada di bawah tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran.

"Untuk makluman juga, kerajaan telah memutuskan untuk mewujudkan sistem pam air ini di kawasan yang sering berdepan masalah banjir termenung," katanya.

Beliau kepada demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan projek menambah baik fasiliti tandas di rumah ibadat di Madrasah Haji Junoh, Kampung Paya Keranji di sini semalam.

Tuan Ibrahim juga berkata peruntukan sebanyak RM16 juta telah dimohon bagi tujuan penyelenggaraan pintu air di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak.


Beliau berkata menerusi program turun padang ke kawasan itu minggu lepas, tujuh daripada 10 pintu air didapati tidak berfungsi.

"Tidak berfungsi berkemungkinan disebabkan kerana sudah lama iaitu sejak tahun 80-an sekali gus memerlukan penyelenggaraan yang sempurna dan menyeluruh.

"Permohonan peruntukan untuk menyelesaikan isu ini telah diangkat ke Kementerian Kewangan. Kita akan bincang mengenai perkara ini sebab pintu air ini penting," katanya.

Tuan Ibrahim berkata jika pintu air terbabit tidak dibaiki atau diselenggara, ia akan rosak dan memberi impak yang sangat besar termasuk menyebabkan padi tenggelam.

-- BERNAMA