KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis membongkar kegiatan pemalsuan ubat batuk berjenama sedia ada di pasaran selepas menyerbu sebuah rumah sewa di Simpang Empat, di sini yang dijadikan makmal pemprosesan.

Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim berkata, serbuan dilakukan pada Isnin apabila pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan berkenaan.

“Pada mulanya kami menerima maklumat mengenai kegiatan pemprosesan dadah di premis itu kerana terdapat bauan kimia yang keluar dari premis itu.

“Serbuan dilakukan sekitar jam 2.30 petang di sebuah premis tidak bernombor di kawasan Sungai Padang, Simpang Empat dan kita dapati premis itu berada di satu kawasan terpencil dikelilingi sawah padi di sekitarnya di mana ia terletak 200 meter dari jalan utama.

“Sebelum serbuan, kita menunggu sekitar 30 minit untuk meninjau keadaan di kawasan itu dan kita dapati terdapat dua lelaki dengan salah seorangnya adalah warga Thailand berada dalam premis itu,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Cawangan Penguatkuasaan/ Marin Kuala Perlis, di sini pada Jumaat.

Ismail berkata, ketika ditahan, kedua-dua suspek berusia 28 dan 54 tahun itu cuba bersembunyi di sebalik dapur dengan mematikan pendingin hawa.

Pemeriksaan selanjutnya menemui sejumlah besar kotak yang mengandungi 8,100 botol disyaki ubat batuk dan 1,000 liter cecair ubat batuk yang belum dibotolkan.

“Kita turut menjumpai mesin memproses ubat batuk itu, bahan pembungkusan serta bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan ‘diphenhydramine’ iaitu sejenis bahan kimia yang berada dalam kandungan ubat batuk itu,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi kegiatan ini adalah dengan menjalankan pemprosesan ubat batuk di dalam premis kediaman bagi mengaburi agensi penguatkuasaan.

“Kita percaya ubat batuk ini akan dicampurkan dengan ketum serta air berkarbonat untuk menghasilkan minuman ‘cakoroi’ di mana ia akan menghasilkan rasa khayal yang kuat kepada sesiapa yang meminumnya.

“Bekalan ubat batuk ini dipercayai akan dipasarkan bagi pasaran tempatan dan turut diseludup keluar ke Thailand,” katanya.

Ismail berkata, nilai rampasan keseluruhan adalah dianggarkan sekitar RM371,463 manakala suspek kini dibebaskan dengan jaminan JKDM sementara menunggu pertuduhan di mahkamah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9(2) Akta Racun 1952.