Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy yakin sistem Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) membolehkan penguatkuasan dan pematuhan yang lebih baik berbanding Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST).

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai matlamat SST untuk merendahkan harga barang berbanding GST.

“Ruang dan peluang untuk berlaku ketirisan dalam sistem cukai seperingkat adalah kecil berbanding GST. GST amat luas di semua peringkat, jadi kadangkala sukar (untuk pantau dan kuat kuasa).

“Ada 472,000 syarikat untuk dikawal (di bawah GST), di bawah SST hanya 70,000 sahaja. Jadi lebih mudah dari segi kawalan. Kami percaya tahap pematuhan di bawah SST lebih baik,” katanya.

Beliau menambah, barangan mana yang akan dikenakan cukai 5% atau 10% akan diterbitkan di laman web kastam bermula minggu hadapan.

Manakala senarai syarikat yang layak dicukai, iaitu syarikat berpendapatan RM500,000 setahun dan ke atas, akan dipindahkan daripada sistem myGST yang sedia ada.

“Mereka akan dimaklumkan menerusi emel untuk semak sama ada semua data betul atau tidak,” kata Subromaniam.

Katanya, pihak kastam juga sedang giat mendidik perniagaan di serata negara berkenaan rejim cukai SST bagi memastikan tiada salah faham atau manipulasi harga.

“Kami minta (kepada kerajaan) untuk buat penerangan dan ‘hand holding’ lebih awal, sebelum Rang Undang-Undang jadi Akta lagi, untuk pastikan semua perniagaan faham menjelang pelaksanaan 1 September 2018 nanti,” tambahnya.

Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 dibentang di Dewan Rakyat hari ini, beserta Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 serta pindaan kepada Akta Kastam 1967 dan Akta Zon Bebas 1990.

Subromaniam berkata, hampir 14,000 orang mewakili lebih 5,000 syarikat sudah menghadiri sesi penerangan yang diadakan, di mana kastam mensasar untuk mendidik kira-kira 70,000 perniagaan yang akan terlibat.

Beliau menambah, isu tuntutan semula cukai juga menjadi antara faktor mengapa harga barang meningkat sewaktu pelaksanaan GST.

“Isu dalam GST dulu adalah ramai peniaga ambil kesempatan naikkan harga sebab mereka tak dapat tuntut semula dalam masa yang dijanjikan. Jadi ramai peniaga menaikkan harga dengan memasukkan elemen faedah dalam harga barang mereka.

“Di bawah SST, tiada konsep tuntut semula sebab dia hanya melibatkan dua kategori – pengilang dan penyedia perkhidmatan. Bagi pengilang, input mereka semua boleh dapat pengecualian cukai. Hanya output sahaja, bila (barang) dijual, dikenakan.

“Tiada lagi cukai atau tuntutan semula cukai selepas itu,” katanya.

Tambahnya, kastam juga sering mengadakan perjumpaan dengan beberapa pihak berwajib termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan sudah merangka beberapa langkah untuk mengelakkan eksploitasi harga oleh peniaga.

Beliau turut mengulangi keyakinan bahawa kastam akan dapat melaksanakan SST dengan jayanya bermula 1 September ini.

“GST lebih kompleks. Jadi saya percaya SST tiada masalah kita nak laksanakan," katanya.

Subromaniam berkata bagi cukai barangan, GST melibatkan 11,197 barang kena cukai, sementara SST dijangka melibatkan hanya 6,400 barang.

“Kami bersedia 100 peratus. Kami amat yakin dapat melatih semua syarikat yang terlibat dalam baki sebulan ini. Kita ada lebih 14,000 warga kastam di seluruh negara.

“Kali ini, kita lebih bersedia. Kami telah terima pengajaran daripada GST,” katanya.