ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 10.5 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM347,000 di Kota Kuala Muda, Rabu lepas.

Pengarahnya, Nor Izah Abd Latiff berkata, sepasukan anggota Penguatkuasaan Marin Tanjung Dawai, Sungai Petani telah membuat pemantauan dan risikan di sekitar kawasan berkenaan sebelum mengesan sebuah bot mencurigakan pada 6.30 petang.

"Pasukan telah mengesan sebuah bot nelayan tanpa nombor pendaftaran di muara Sungai Pasar Bisik, Kota Kuala Muda dan kira-kira empat jam kemudian dua lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan datang dan memgemudi bot itu ke arah laut besar.

"Pasukan serbuan bertindak memintas bot berkenaan, bagaimanapun suspek yang menyedari kehadiran anggota penguat kuasa telah terjun ke dalam muara sungai sebelum menghilangkan diri," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, menemukan 10 bungkusan berwarna coklat di dalam sebuah beg yang disembunyikan di ruang simpanan bot, disyaki dadah jenis syabu.

"Dadah ini cuba dibawa keluar secara haram melalui jalan laut dengan menggunakan bot ke negara jiran, Indonesia. Sindiket ini beroperasi pada waktu malam bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, dadah berkenaan dipercayai untuk edaran di negara jiran bagi mendapatkan keuntungan berlipat ganda dan rampasan ini berjaya membanteras daripada diedarkan kepada 100,000 penagih.

Nor Izah berkata, walaupun tiada sebarang tangkapan dibuat, namun siasatan diteruskan bagi mengesan pemilik bot berkenaan.

Justeru, orang ramai diminta bekerjasama menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol di 1-800-88-8855 atau ke Pejabat Kastam berdekatan. - BERNAMA