ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah menggagalkan cubaan menyeludup kira-kira 14,000 liter diesel ke negara jiran di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 4 dan 5 Mac lepas.

Pengarah JKDM Kedah Nor Izah Abd Latiff berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap dua lori treler bernombor pendaftaran Thailand di Kompleks Dagangan Berat (Eksport) ICQS Bukit Kayu Hitam.

"Pemeriksaan terhadap lori treler dipandu lelaki warga Thailand itu mendapati terdapat beberapa bahagian lori treler dan semi treler telah diubah suai untuk mengangkut minyak diesel ke negara jiran. Kedua-dua pemandu lori ditahan dan kenderaan itu disita untuk tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati, lori treler berkenaan telah mengikrar sebagai lori kosong namun pemeriksaan teliti oleh pegawai kastam mendapati terdapat beberapa bahagian lori telah diubah suai bagi membolehkan minyak diesel diisi dengan lebih banyak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nor Izah berkata hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua lori berkenaan telah menjumpai 14,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM30,100.

"Modus operandi mereka adalah dengan mengubah suai tangki untuk mengaburi pihak kastam dan lori-lori ini juga membuat dua atau tiga kali perjalanan sehari secara berulang alik dari negara jiran ke Malaysia.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. Kastam meminta kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam di 1-800-88-8855 atau ke Pejabat Kastam berdekatan," katanya.

-- BERNAMA