MALAYSIA
Kastam Kelantan gagalkan cubaan seludup dadah guna kurier

Wan Jamal (tengah) bersama pegawai menunjukkan sebahagian bungkusan ketulan mampat disyaki ganja yang dirampas di premis perkhidmatan kurier di Pengkalan Chepa pada sidang media di Wisma Kastam Padang Bongor hari ini. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Taktik licik sindiket yang menyeludup pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM200,000 menggunakan perkhidmatan kurier termasuk membungkus bahan terlarang menyerupai coklat dan gula-gula berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, 15 Julai lepas.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata hasil maklumat orang awam, satu serbuan oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor terhadap sebuah premis kurier di kawasan perindustrian MARA, Pengkalan Chepa, di sini.
Beliau berkata pemeriksaan yang turut disaksikan kakitangan syarikat kurier menemukan 14 kotak pelbagai saiz yang disimpan dalam sebuah kotak plastik berdaftar milik syarikat terbabit.
"Kesemua kotak itu mengandungi pelbagai jenis dadah dipercayai untuk diedarkan kepada pelanggan, termasuk ketulan mampat ganja seberat 26.05 kilogram (kg) bernilai RM85,981, bunga ganja 1.10kg bernilai RM110,000, ketamin 0.11kg bernilai RM5,500, MDMA HCI 0.004kg bernilai RM200,000 serta 10 biji pil kuda bernilai RM100,000," katanya dalam sidang media hari ini.Wan Jamal berkata siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand sebelum dihantar ke beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Perlis berdasarkan alamat pada bungkusan yang dirampas.
"Taktik sindiket amat licik, mereka cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan membungkus dadah menyerupai produk makanan seperti coklat dan gula-gula," katanya.
Menurut beliau, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan syarikat kurier bagi mengesan penghantar bungkusan dadah tersebut dan membanteras kegiatan pengedaran menggunakan perkhidmatan awam.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami