MALAYSIA
Kastam Perlis rampas ayam sejuk beku dan vape bernilai lebih RM1.35 juta

Ismail (dua, kiri), menunjukkan sebahagian daripada vape yang dirampas dalam satu sidang media berhubung cubaan menyeludup barangan tidak berkastam, yang diadakan di Kompleks Kastam Negeri, hari ini. - Gambar Bernama
KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas 55,572 kilogram (kg) ayam sejuk beku serta 27,700 unit rokok elektronik (vape) dalam rampasan berasingan dengan nilai keseluruhan lebih RM1.35 juta di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, bulan lepas.
Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata ayam sejuk beku yang bernilai RM833,580 dan vape (RM520,800) itu dipercayai tidak diikrar dengan betul kepada pihak Kastam.
Beliau berkata pihaknya merampas ayam sejuk beku itu pada 26 Julai selepas pemeriksaan dilakukan terhadap dua kontena yang dibawa dua motorlori.
"Ayam sejuk beku itu dipercayai dibawa dari negara luar dan dimasukkan ke negara ini melalui Pulau Pinang sebelum dibawa ke Padang Besar tanpa dieksport ke Thailand sebagaimana dinyatakan," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri Perlis di sini hari ini.Ismail berkata lima lelaki termasuk dua pemandu lori berusia 33 dan 55 tahun, dua ejen penghantaran tempatan masing-masing berumur 36 dan 50 tahun serta seorang pengimport berusia 45 tahun ditahan sebelum dilepaskan dengan jaminan Kastam antara RM3,000 hingga RM4,000 seorang.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya menemukan rokok elektronik tersebut dalam sebuah kenderaan pikap jenis Isuzu DMAX bernombor pendaftaran Thailand yang diangkut bersama barangan runcit di laluan eksport, Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks ICQS Padang Besar pada 17 Julai.
"Pemeriksaan menemui alat dan cecair vape daripada tiga jenis perisa yang tidak diikrarkan, dipercayai untuk dieksport ke Thailand.
"Seorang lelaki warga Thailand berusia 23 tahun ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dilepas dengan jaminan Kastam RM6,000," katanya yang turut memaklumkan modus operandi sindiket dipercayai menyembunyikan barangan tidak diikrar bersama barangan diikrar.
Ismail berkata berkata kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami