KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas daging lembu dan babi seberat 164,800 kilogram (kg) dalam tiga kes dagangan sejuk beku rentas negara dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM2.6 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM Norlela Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata daging berkenaan dirampas dalam operasi yang bermula sejak 27 Dis tahun lepas sehingga 17 Jan tahun ini.

Norlela berkata serbuan pertama dilakukan pada 27 Dis tahun lepas dan JKDM berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk dagangan sejuk beku disyaki keratan daging babi melalui dua kontena dari negara jiran di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemui muatan makanan beku tidak berkastam seberat 56,000 kg itu dianggarkan bernilai RM840,000.

"Dalam serbuan kedua JKDM merampas 24,300 kg daging lembu sejuk beku (bernilai RM270,000) disyaki tidak berkastam kerana tidak memiliki lesen import dan cuba diseludup menggunakan sebuah kontena yang menuju ke selatan tanah air dari Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang," katanya.

Menurutnya, serbuan ketiga mencatatkan rampasan terbesar melibatkan 85,500 kg daging babi sejuk beku ditemukan di dalam tiga kontena dianggarkan bernilai RM1.54 juta menerusi serbuan ke atas sebuah gudang di Jalan Sungai Lalang, Semenyih.

"Hasil pemeriksaan ke atas tiga kontena sejuk bersama dua pekerja warga Myanmar yang ditahan menemukan barang dagangan disyaki daging khinzir sejuk beku tidak berkastam.

Pengimportan komoditi sejuk beku adalah tertakluk pada Butiran 1(1) Jadual Ketiga Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang memerlukan permit import dengan kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia dan Jabatan Veterinar," katanya.

Norlela berkata sindiket terbabit tidak memiliki permit import dan menyalahgunakan kemudahan Pemindahan Barang Dalam Transit melalui mod darat yang disediakan JKDM.

"Kes-kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu di bawah Seksyen 135 (1)(d) kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau larangan import," katanya.

-- BERNAMA