KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 5.9 juta batang rokok putih bernilai lebih RM4.35 juta menerusi dua operasi berasingan di Seri Kembangan dan Kuala Lumpur pada 22 dan 29 Februari lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata rampasan pertama sebanyak dua juta batang rokok putih dibuat selepas pihaknya menyerbu sebuah gudang tidak berpenghuni di Seri Kembangan.

"Menerusi serbuan ini, kita temukan dua juta batang rokok dianggar bernilai RM1.33 juta. Kesemua barang rampasan telah disita dan dibawa ke Stor Penguatkuasaan Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini hari ini.

Beliau berkata rampasan kedua pada 29 Februari pula dilakukan menerusi satu serbuan terhadap sebuah lori di Lebuh Raya Karak - Kuala Lumpur, yang berjaya menemukan sejumlah 3.9 juta batang rokok putih dengan nilai dianggarkan RM3.01 juta.

Sazali berkata seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemandu lori terbabit turut ditahan dan kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan dan mengangkut barang larangan.



KASTAM-ROKOK 2 (AKHIR) KLANG



Dalam kes berlainan, Sazali berkata Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah telah menahan empat kontena mengandungi bateri terpakai dianggarkan bernilai RM1.17 juta, dipercayai tidak mempunyai permit di Pelabuhan Barat di sini pada 28 Feb lepas.

Beliau berkata kontena itu ditahan selepas imbasan terhadap kesemua kontena menunjukkan imej yang meragukan serta tidak konsisten dengan deskripsi dagangan yang diikrar.

Modus operandi yang digunakan oleh pihak sindiket adalah dengan mengikrar dagangan sebagai Aluminium Flakes melalui Borang Kastam 1 bagi mengelak dikesan oleh pihak kastam, katanya.

Sazali berkata sehari selepas itu, dua lagi kontena mengandungi rokok, minuman keras dan sisa elektronik bernilai RM1.52 juta turut ditahan di pelabuhan sama selepas cubaan mengelirukan pihak berkuasa gagal.

"Modus operandi yang digunakan adalah sama iaitu mengikrar dagangan sebagai Copper Alloy melalui borang manifes bagi mengelak dikesan pihak kastam", katanya dan menambah kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA