Keputusan STAM 2025 catat pencapaian memberangsangkan, GPK 2.81 - KPM

Pencapaian STAM 2025 adalah signifikan kerana melibatkan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) Menengah Atas dan Kurikulum Tingkatan Enam Dini melalui tempoh pengajian selama tiga tahun. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 yang diumumkan hari ini mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) merekodkan 2.81 mata.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan pencapaian itu signifikan kerana melibatkan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) Menengah Atas dan Kurikulum Tingkatan Enam Dini melalui tempoh pengajian selama tiga tahun.
"Seramai 4,382 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM 2025 di 135 pusat peperiksaan di seluruh negara dengan peratus kehadiran keseluruhan 98.7 peratus.
"Bagi calon di bawah KPM, peratus kehadiran direkodkan lebih tinggi iaitu 99.1 peratus," menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan pengukuhan kurikulum menerusi kerjasama dengan Al-Azhar Al-Sharif turut menyumbang kepada pencapaian positif, apabila gred purata calon sekolah KPM mencatatkan 2.63 mata.
Sementara itu, KPM memaklumkan 61 calon memperoleh pangkat Mumtaz (cemerlang) dalam semua 10 mata pelajaran, termasuk 30 calon daripada sekolah di bawah KPM.
Secara keseluruhan, seramai 2,816 calon berjaya melepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan STAM.
KPM turut memaklumkan calon menunjukkan keupayaan menguasai format baharu bagi empat mata pelajaran utama iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Tauhid dan Mantiq, Hadith dan Mustolah serta Insya' dan Mutalaah.
Menurut kenyataan itu, pencapaian berkenaan mencerminkan keberkesanan pelaksanaan kurikulum baharu yang diperkenalkan.
KPM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru, ibu bapa, 852 petugas peperiksaan dan 468 pemeriksa yang memastikan kelancaran pengurusan STAM 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


