KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah menggunakan kurier dan kargo bas dengan tertangkapnya dua suspek di dua lokasi berbeza pada Januari lalu.

Pengarah Pengarah Kastam Sarawak, Mohd Nadzri Ariffin berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 10 Januari lalu melibatkan seorang lelaki warga tempatan.

Katanya, suspek dicekup di luar premis terminal bas di sini ketika sedang menuntut satu bungkusan dari bandar raya Miri menggunakan khidmas bas ekspres antara bandar.

"Hasil tangkapan tersebut menemukan 358 paket lut sinar mengandungi dadah serbuk kristal jenis Methamphetamine dipercayai untuk pasaran Kuching dan Samarahan. Berat kasar dadah tersebut sekitar 1.115 kg, dengan nilai pasaran RM47,500.

"Turut dirampas wang tunai RM540 dan sebuah kenderaan jenis Toyota Yaris," katanya.

Tambah Nadzri, tangkapan kedua melibatkan lelaki warga tempatan pada 24 Januari lalu di sebuah premis kurier di Permy Technology Park, Miri.

Katanya, lelaki berusia 44 tahun itu diserbu ketika menuntut bungkusan dari luar negara, yang di dalamnya mengandungi bungkusan plastik lut sinar.

"Pemeriksaan plastik tersebut dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin, seberat satu kilogram. Turut ditemui satu paket serbuk minuman jenis "Juice Master" di dalam beg sandang saspek, dipercayai dadah jenis ketamin seberat 28 gram. Hasil rampasan bernilai RM51,400.

"Pihaknya percaya, modus operandi kedua-dua suspek hampir sama dengan menggunakan khidmat kurier, syarikat tidak aktif selain alamat tidak wujud.

Dengan kejayaan ini katanya lagi, Kastam Sarawak positif pihaknya dapat melumpuhkan operasi sindiket terbabit.

Pada tahun lalu jelasnya, sebanyak 13 kes dengan modus operandi yang sama, berjaya ditumpaskan, dengan nilai pasaran melebihi RM1.1 juta.